KUALA LUMPUR- Kerajaan DAP dan PKR di Pulau Pinang gagal menjaga kesucian agama Islam dan sengaja membiarkan fahaman Islam Liberal dipromosikan melalui lidah rasmi kerajaan serta lidah pimpinan mereka sendiri.

Itu dakwa Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff sambil menganggap senario itu amat membimbangkan terutama kepada pelajar di sekolah agama.

“Situasi ini bercanggah dengan usaha membenteras dan mengawal fahaman ini yang dilakukan oleh Jawatankuasa Khariah Masjid dan Surau di seluruh negeri Pulau Pinang sekaligus menggambarkan bahawa pihak kerajaan negeri tidak mengendahkan suara kariah masjid dan surau yang membantah fahaman ini,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim yang menafikan dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kerajaan negeri itu gagal membela orang Melayu dan Islam.

Muhammad Fauzi seterusnya mendakwa kerajaan negeri tidak serius dalam usaha membela umat Islam kerana hanya memfokuskan aspek material tetapi bukan aspek pembinaan insan dan kerohanian.

Selain itu, menurutnya, DAP dan PKR juga gagal mengawal ancaman-ancaman terhadap Islam di negeri ini apabila dilihat sengaja membiarkan Penang Institute, sebuah institut dibawah kelolaan kerajaan negeri mempromosikan pemikiran Islam Liberal yang jelas bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan telah difatwakan haram.

“Fahaman ini diberi ruang seluas-luasnya oleh Urusetia Penerangan di bawah Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dengan diberikan slot dan menyiarkannya di dalam Buletin Mutiara iaitu buletin rasmi kerajaan negeri dalam setiap keluaran,” katanya.

Lebih buruk, menurut Muhamad Fauzi, seorang penggerak Penang Institute yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zairil Khir Johari secara terang-terangan telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempromosi pemikiran songsang berkenaan.

Zairil juga dikatakan memperkecilkan institusi Mufti dan Jawatan Kuasa Fatwa Negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Fatwa walaupun dipanggil beberapa kali oleh Mufti Kerajaan Negeri untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau.

Dalam soal Rang Undang-Undang 355 juga, katanya, kerajaan negeri secara terang-terangan menghalang hak umat Islam di negeri itu dengan tidak menyokong pindaan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga mendakwa DAP dan PKR sengaja mencampuri urusan pemfatwaan apabila mengarahkan supaya semua fatwa yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan terlebih dahulu, sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA).

“Dalam isu ini, Pas semasa di dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan bantahan secara tertutup kepada Abdul Malik namun sehingga kini, amalan campur tangan dalam proses penfatwaan masih berlaku,” katanya sambil menambah, Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, fatwa tersebut hendaklah terus disyorkan kepada YDPA.

Berdasarkan maklumat, katanya, terdapat fatwa yang telah ‘dibekukan’ oleh kerajaan negeri kerana tidak mengikut selera DAP dan PKR.

“Keadaan ini seolah-olah menjadikan mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam hal ehwal hukum orang Islam secara tidak langsung meletakkan fungsi mufti lebih rendah daripada sepatutnya mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004,” katanya.-MalaysiaGazette