Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan caj rawatan gigi di klinik kerajaan akan naik di antara RM14 sehingga RM53 berkuatkuasa 1 Mac ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya ketika dihubungi Berita Harian berkata, kadar terbaharu itu sepatutnya berkuatkuasa hari ini bagaimanapun ditangguhkan sebulan lagi.

Jelasnya, kadar terbaharu itu terkandung di dalam surat pemberitahuan yang dikeluarkan Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan (KKM) bertarikh 26 Januari rujukan (24)KKM.400-9/1/3 Jld.2 berkaitan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha (KSU) Bil 4/2017 seperti yang viral dalam media sosial sejak kelmarin.

Mengikut pekeliling itu, bagi perkhidmatan cabutan gigi caj RM1 sekarang dinaikkan kepada RM15, manakala cuci gigi meningkat daripada RM2 kepada RM55 dan tampalan pula meningkat daripada RM2 kepada RM25

“Untuk rekod, kerajaan tidak pernah menaikkan caj rawatan gigi sejak perkhidmatan itu mula diperkenalkan dan kadar dinaikkan disifatkan masih rendah berbanding di klinik pergigian swasta,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata caj baharu sebenarnya menggambarkan kos asas semasa pada tahun ini bagi rawatan pergigian di Malaysia, sekiranya ia diberikan tanpa subsidi kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak akan melepaskan tanggungjawabnya kepada golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

“Mereka akan terus menerima tahap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi pada kadar yang amat berpatutan seperti yang telah mereka terima sebelum ini, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini yang turut disiarkan di laman Facebook rasmi beliau.-MalaysiaGazette