GEORGE TOWN, 1 Feb -- Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow meminta penganut Hindu tidak membazirkan wang untuk membeli beribu-ribu kelapa sebagai membayar nazar pada perayaan Thaipusam. Beliau meminta penganut Hindu membeli sebiji kelapa untuk upacara pemecahan kelapa sebagai membayar nazar semasa perarakan pedati yang membawa patung Dewa Murugan pada 8 Februari ini. Tambahnya lagi, kini harga kelapa meningkat sehingga RM2.50 sebiji. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan para pengguna khususnya masyarakat India menjimatkan penggunaan kelapa menjelang sambutan Thaipusam kali ini, lapor akhbar Malaysia Nanban hari ini.

Oleh kerana harga sebiji kelapa dijual mahal sehingga RM3, para pengguna termasuk penganut Hindu dicadangkan memecahkan sebiji kelapa untuk ritual perarakan pedati pada 8 Februari iaitu sehari sebelum sambutan Thaipusam dan ia mencukupi.

“Pemantauan CAP sendiri mendapati sebiji kelapa dijual pada harga sehingga RM2.80  dan ia akan mencecah RM3 menjelang hari Thaipusam 9 Februari ini.

“Setiap tahun para penganut Hindu memecahkan ribuan biji kelapa untuk ritual kuil. Kali ini kami ingin mencadangkan supaya sebiji adalah mencukupi.

“Kelapa yang dipecahkan itu akan diproses juga, maka CAP berpendapat sebiji kelapa mencukupi tidak perlu pecah banyak sangat,” kata Pegawai bahagian Pendidikan CAP, N.V. Subbarow.

Tambah beliau, pemecahan kelapa sudah mula dipandang sebagai satu pertandingan dan tidak lagi dianggap ritual keagamaan.

“Sekiranya satu pihak memecahkan 1000 biji kelapa, satu lagi pihak pula bersaing dengan memecahkan 2,000 biji kelapa.

“Tidak perlukan membazirkan wang membeli ribuan kelapa untuk dipecahkan semasa perarakan pedati membawa patung Dewa Murugan nanti. Kelapa sebiji memadai,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Subbarow mahu kerajaan segera mengawal harga siling kelapa seperti skim kawalan harga barang musim perayaan sebagai mengelak peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya menjelang Thaipusam minggu depan.

Katanya, langkah itu perlu berikutan permintaan terhadap kelapa adalah tinggi pada sambutan Thaipusam.

“Kawalan harga syiling kelapa perlu untuk mengelakkan  ia membebankan pengguna,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast