Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar minima bankrapsi daripada RM30,000 kepada RM50,000 bukan penyelesaian kepada masalah ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Peguam, Faiz Fadzil berkata, Rang Undang-undang Kebankrapan 1967 (Pindaan) yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 21 November lalu walaupun melibatkan pindaan peruntukan lain yang menguntungkan rakyat terutama penjamin sosial tidak boleh dibankrapkan.

Namun, katanya, ia tidak melepaskan beban hutang rakyat selagi ekonomi negara tidak dipulihkan.

Menurut beliau, masalah utama yang mendorong kepada bankrapsi adalah ketidakmampuan peminjam membayar pinjaman akibat masalah ekonomi yang dihadapi.

“Sebagai contoh seorang peminjam pada awalnya mampu membayar ansuran kereta atau rumah, tetapi disebabkan isu pemberhentian kerja, mereka kehilangan pendapatan.

“Ini menjejaskan kemampuan mereka membayar ansuran, yang mana akhirnya menyebabkan tindakan saman dan kebankrapan diambil oleh pihak bank.

“Begitu juga dengan penggunaan kad kredit, terdapat segmen rakyat terpaksa bergantung kepadanya untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

“Kenaikan harga barang telah mengurangkan kemampuan perbelanjaan, namun terdapat barang keperluan yang terpaksa dibeli menyebabkan pengguna terpaksa juga menggunakan kad kredit.

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata, kepincangan ekonomi rakyat sebenarnya berpunca daripada salah urus tadbir kerajaan yang banyak melakukan pembaziran, korupsi dan penyelewengan.

Akibatnya, ujar beliau, kantung negara menjadi semakin berkurangan dan kejatuhan nilai mata wang akibat kehilangan kepercayaan pelabur luar akibat skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berskala besar.

“Kesan langsung segala kebejatan ekonomi ini ditanggung rakyat dengan kenaikan harga barang dan kenaikan kadar faedah pinjaman bank yang akhirnya menjejaskan kemampuan perbelanjaan rakyat serta membawa kepada bankrapsi.

“Selagi masalah ekonomi tidak diselesaikan, selagi itulah rakyat akan terus dibelenggu ancaman kebankrapan,” katanya.

Kata Faiz, kadar minima bankrapsi sebanyak RM50,000 pada hakikatnya tidak melepaskan peminjam daripada tindakan undang-undang lain sebagai contoh penyitaan harta benda dan nama yang disenarai hitam oleh CITOS atau CCRIS.

“Anak muda yang mempunyai masalah bayaran PTPTN walaupun berkemungkinan besar tidak dibankrapkan kerana jumlah pinjaman yang lebih rendah daripada kadar minima, tetap menghadapi tindakan CITOS dan CCRIS yang menghalang mereka memperolehi pinjaman kewangan dari pihak bank bagi memulakan hidup baru,” ujarnya.

Katanya lagi, kenaikan kadar minima bankrapsi kepada RM50,000 juga mungkin membantu kerajaan mengaburi keadaan ekonomi negara dengan angka bankrapsi akan berkurangan, walaupun hakikatnya rakyat akan berterusan hidup dalam kesusahan dan hutang yang menjerut kehidupan. – MalaysiaGazette