Dr S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam memberi kata putus yang parti itu tidak sesekali melepaskan kerusi tradisinya kepada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 dijangkakan tahun ini, MIC, katanya, akan memastikan untuk menang kesemua sembilan kerusi parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimiliki parti kekal kepada MIC.

“Tetapi kami tidak akan sesekali melepaskan kerusi tradisi MIC yang dipegang selama ini kepada mana-mana parti komponen Barisan Nasional,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MIC di sini.

Dalam perkembangan sama Subramaniam mengakui terdapat cadangan pertukaran kerusi antara parti komponen BN.

Dalam perkara terbabit, Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat menyatakan, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk memastikan satu rundingan situasi menang-menang dicapai.

“Mana-mana pertukaran kerusi semasa BN melibatkan situasi win-win dan kita akan memperhalusi perkara itu secara bersama.

“Kami juga tahu ada permintaan supaya satu dua kerusi tradisi MIC diminta oleh parti komponen lain dan saya tidak boleh mendedahkan kerusi yang disasarkan itu.

“Tetapi MIC berpendirian tegas bahawa kami tidak akan melepaskan kerusi tradisi parti kepada komponen BN,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, katanya parti dalam mesyuarat CWC hari ini telah memutuskan penubuhan Jawatankuasa Undang-Undang untuk memperhalusi dan memberi cadangan dalam isu Rang Undang-Undang 355 (RUU355).

Ahli Jawatankuasa MIC bergamabr selepas sidang media Pasca Mesyuarat Kerja Pusat (CWC) di Wisma MIC, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 05 FEBRUARI 2017
Ahli Jawatankuasa MIC bergamabr selepas sidang media Pasca Mesyuarat Kerja Pusat (CWC) di Wisma MIC, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 05 FEBRUARI 2017

“Jawatankuasa ini akan melihat RUU355 dari sudut perlembagaan negara dan sistem kehakiman untuk memastikan hak bukan Islam termasuk dari sudut pertikaian keagamaan yang pernah dihadapi sebelum ini tidak terjejas.

“Segala hasil kajian jawatankuasa itu yang akan mewakili pendirian MIC dan komuniti India akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pertimbangan sewajarnya,” tegasnya.- MalaysiaGazette