Mustafar Ali

CYBERJAYA – Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Jabatan Imigresen berjaya menyelesaikan semua 3,861 permohonan pas pelajar tertunggak melalui Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS).

Ia diselesaikan dalam tempoh dua minggu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurutnya, baki 512 lagi permohonan yang diterima hari ini sedang dalam proses dan dapat diselesaikan hari ini juga.

Menurut Mustafar, antara punca berlakukan permohonan tertunggak itu disebabkan kelewatan institusi membuat permohonan di saat-saat akhir tempoh pendaftaran pelajar.

Ujar beliau lagi, permohonan itu sepatutnya dibuat enam minggu sebelum tarikh pendaftaran pelajar.

“Permohonan yang tidak lengkap oleh pihak IPT dan memakan masa yang lama institusi menyelesaikan saringan EMGS dan saringan yang kurang komprehensif antara sebab kepada tunggakan pemprosesan pas pelajar.

“Malah, tidak dinafikan berlakunya gangguan sistem MyImms bermula dari 17 Jun hingga 28 Jun 2016 menyebabkan permohonan tidak dapat diproses mengikut Piagam Pelanggan Jabatan Imigresen,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke EMGS Imigresen di Teknokrat 7 di sini petang tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan EMGS yang menghantar purata 300 permohonan untuk proses kelulusan Jabatan Imigresen menyebabkan sebanyak 3,300 permohonan tertunggak sepanjang tempoh gangguan sistem.

Kata Mustafar lagi, keputusan telah dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tahap Tinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Januari lalu berkaitan masalah yang sama.

Hasilnya, menurut Mustafar, seramai 30 orang pegawai pelulus iaitu terdiri daripada 24 orang pegawai tambahan dan enam orang pegawai sedia ada telah memulakan Pasukan Petugas Khas atau Task Force pada 23 Januari 2017 untuk menyelesaikan tunggakan 3861 permohonan yang melebihi 14 hari dalam tempoh dua minggu daripada jumlah keseluruhan 8,617 permohonan.

“Pasukan yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan berjaya menyelesaikan semua permohonan tertunggak pada 31 Januari lalu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette