KUALA LUMPUR – Pelakon, Sarah Lian membuat kejutan apabila menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Los Angeles (Lafa) pada Ahad lalu.

Wanita kelahiran Malaysia itu meraih anugerah itu menerusi peranannya sebagai Anna dalam filem Jasmine arahan Dax Phelan.

“Saya memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Filem LA!…Terima kasih kepada penganjur atas penghargaan ini!

“Segulung tahniah juga buat semua yang bertanding pada tahun ini,” katanya yang juga model menerusi Facebook miliknya semalam.

Jasmine adalah sebuah filem psikologi seram yang ditulis mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan yang bingung dengan kematian isterinya.

Pada ulang tahun pertama kematian isterinya, dia bertemu dengan seorang lelaki yang mengaku mempunyai kaitan terhadap kematian isterinya.

Pada anugerah berkenaan, Jasmine turut bersaing dengan filem lain seperti Magic Radio, The Lurking Man, Dress Rehearsal, Karma dan Along the River yang memenangi Filem Terbaik.

Ia turut memenangi lima kategori lain itu Pengarah Terbaik, Pelakon Terbaik, Sinematografi Terbaik, Suntingan Terbaik dan Bunyi Terbaik. – MalaysiaGazette