Kesan daripada arahan melarang imigran dari tujuh buah negara Islam memasuki Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja menyebabkan Donald Trump dikecam.

Bahang daripadanya turut menyebabkan Ivanka Trump juga terkesan apabila syarikat pengeluar jenama fesyen Nordstrom tidak lagi mahu menjual produk jenama anak perempuannya itu.

Malah syarikat itu dalam satu emel kepada kakitangannya memaklumkan yang pihaknya akan melakukan apa yang mampu membantah arahan eksekutif Trump.

Menurut pemiliknya, Peter, Erik dan Blake Nordstrom, kejayaan perniagaan mereka banyak disumbangkan oleh imigran di AS.

Mereka juga menyatakan syarikat itu juga diasaskan oleh imigran iaitu datuk mereka, John.

Selain itu, beberapa cawangan Nordstrom di AS juga tidak lagi menjual produk jenama Ivanka Trump dengan alasan jualannya menurun.

Bagaimanapun, menurut Ivanka, syarikatnya akan terus memasarkan produknya walaupun tanpa bantuan Nordstrom lagi.

“Orang suka mempolitikkannya kerana tidak bersetuju dengan pendirian bapa saya yang saya sendiri tidak boleh mengubahnya,” ujarnya dalam satu program televisyen di AS.-MalaysiaGazette