LONDON- Bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mencuba sukan air baharu dan merbahaya yang beliau tidak dapat melakukannya kerana faktor keselamatan semasa berkhidmat di Rumah Putih.

Menurut Reuters, Obama yang menjadi presiden selama lapan tahun itu belajar bermain kiteboard semasa bercuti di pulau Caribbean  bersama bilionair British, Richard Branson.

Gambar-gambar dan video yang dipaparkan di laman web Kumpulan Virgin milik Branson menunjukkan bekas presiden Amerika Syarikat itu sedang mencuba sukan air yang semakin popular.

“Menjadi seorang bekas Presiden Amerika, terdapat banyak kawalan keselamatan di sekeliling beliau namun Barack tetap boleh berehat dan menikmati percutian ini,” kata Branson.

Obama dan isterinya, Michelle dilihat berada di British Virgin Islands minggu lalu dan orang ramai menyiarkan gambar-gambar mereka di media sosial.

Branson memiliki Moskito Island seluas 48 hektar yang merupakan sebahagian daripada gugusan kepulauan berkenaan.

Menurut Branson, Obama belajar selama dua hari dengan menerbangkan layang-layang di pantai “seperti beliau menjadi kanak-kanak semula sebelum terus membelah ombak.” Katanya.

Katanya, Obama berjaya dengan melakukan kiteboarding sejauh 100 meter.- MalaysiaGazette