Home Dunia Perang perdagangan dengan China jejas Walt Disney

Perang perdagangan dengan China jejas Walt Disney

Bob Iger

NEW YORK – Walt Disney memberi amaran perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China tidak baik untuk perniagaan.

Ketua Eksekutif nya, Bob Iger berkata, China semakin penting kepada firma perfileman dan jualan barangan.

Malah, Disneyland Shanghai merupakan salah satu ‘kisah kejayaan besar’ pada tahun 2016. Sejak dibuka pada Jun tahun lalu, ia menerima tujuh juta pengunjung.

“Perang perdagangan dengan China akan menjejaskan perniagaan Disney dan perniagaan secara keseluruhannya,” katanya yang bimbang dengan dasar perlindungan Presiden Donald Trump.

Semasa kempen pilihan raya, Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 45 peratus ke atas import China dan akan menangani ketidakseimbangan ekonomi dalam hubungan dua hala.

Iger juga mengkrtitik tindakan Trump untuk menghalang kemasukan pelarian daripada tujuh buah negara.

“Kita tidak boleh tutup sempadan kepada imigran,” katanya yang mengulas tentang penurunan jualan keseluruhan Disney yang tidak dijangka kepada AS$14.8 bilion dalam tempoh tiga bulan berakhir pada Disember lalu.

Ia adalah penurunan sebanyak 3.0 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penurunan dalam perolehan pengiklanan di rangkaian kabel ESPN dipersalahkan serta kemerosotan pendapatan dalam perniagaan filem sebanyak 7.0 peratus. – MalaysiaGazette