KUALA LUMPUR – Berita gembira buat pereka fesyen di seluruh rantau ASEAN apabila pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 kini diperluaskan ke semua 10 buah negara ASEAN tahun ini.

Ujibakat pertandingan tersebut akan berlangsung di setiap ibu kota negara ASEAN bermula April hingga Jun ini.

Dua pereka fesyen muda terbaik akan mewakili negara mereka ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Ogos ini.

Pemenang pencarian pereka fesyen serantau akan membawa pulang hadiah bernilai lebih RM350,000 termasuk satu slot di KL Fashion Week Ready To Wear 2018, wang RM25,000 yang ditaja oleh FashionValet untuk menghasilkan koleksi kapsul yang akan dijual di laman web fashionvalet.com, mata ganjaran AirAsia BIG sebanyak 150,000 serta tiket penerbangan AirAsia dan banyak lagi.

Barisan panel juri terdiri daripada pereka fesyen terkemuka dari setiap negara seperti Q Design and Play dari Thailand, Anthony Ramirez dari Filipina dan Mel Ahyar dari Indonesia akan menjadi sebahagian daripada panel juri bagi ujibakat di setiap ibu kota negara.

Pengasas KL Fashion Week Ready To Wear, Andrew Tan dan pengasas FashionValet, Vivy Yusof pula akan menjadi panel juri tetap di seluruh Asean untuk ujibakat yang dijalankan.

Pereka fesyen terkenal Malaysia, Alia Bastamam serta Yang Mei Ling, pengarang majalah FEMALE Malaysia juga akan menjadi  sebahagian daripada panel juri untuk ujibakat di Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, ASEAN merupakan negara serantau yang kaya dengan pelbagai budaya dan telah memberi inspirasi kepada pereka-pereka fesyen di seluruh dunia.

“ASEAN juga mempunyai bakat-bakat yang besar dimana kami berharap dapat membantu mereka membina nama dalam industri fesyen melalui pertandingan ini.

“Kami bangga untuk mengumumkan bahawa pencarian tahun ini telah diluaskan ke semua 10 buah negara Asean dan kami tidak sabar untuk melihat reaksi yang akan dibawa oleh para peserta ke pertandingan tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 di Sepang, kelmarin.

Bagi Andrew Tan, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia sekali lagi untuk pertandingan berprestij itu.

“Tahun lepas kami telah menyaksikan rekaan yang hebat dan ini membuatkan kami lebih semangat untuk melihat apa yang akan dipersembahkan pada tahun ini dari peserta dari 10 buah negara ASEAN.

“Tanpa keraguan, AirAsia Runway Ready Designer Search merupakan acara pencarian pereka fesyen terkemuka di rantau ASEAN.

“Pendedahan yang besar diberikan pada ke semua finalis melalui media dan pengalaman industri akan mempercepatkan jurang impiani bagi mereka yang berhajat untuk mempunyai jenama mereka sendiri satu hari nanti.

“Kami tidak sabar untuk melihat ke semua finalis mempamerkan koleksi mereka di pentas peragaan KLFW RTW 2017 Ogos ini,” katanya.

Pencarian pereka fesyen ini terbuka kepada individu bagi mana-mana warganegara, berumur bawah 30 tahun yang menetap di mana-mana 10 buah negara ASEAN.

Tiga lakaran berinspirasikan destinasi ASEAN perlu disertakan bersama borang pendaftaran yang lengkap.

Borang pendaftaran boleh di muat turun di laman www.klfashionweek.com.

Para peserta juga boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan menghantar e-mel ke [email protected].

AirAsia adalah Preferred Travel Partner KL Fashion Week Ready To Wear 2017 dan akan menerbangkan pereka fesyen melalui rangkaian laluan luas AirAsia termasuk dari India, China, Australia, Jepun dan Korea Selatan untuk menyertai Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear 2017 dari 16 hingga 20 Ogos ini.

Orang ramai boleh mengikuti saluran Youtube AirAsia (youtube.com/user/AirAsia) untuk webisodes yang akan memaparkan perjalanan semua peserta atau ikuti hastag #AirAsiaRunway di saluran media sosial yang lain seperti Facebook  (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia). – MalaysiaGazette