KUALA LUMPUR – Manis FM muncul memperkenalkan imej terkini stesen radio swasta yang popular di Pantai Timur itu dengan membuat perubahan daripada segi program dan barisan penyampai bagi tahun 2017.

Pengurus Besarnya Ozarian Mohd. Nor berkata, biar pun baru melaksanakan penjenamaan semula pada Jun tahun lalu, Manis FM kini berwajah baharu lagi bersesuaian mengikut peredaran masa dan cita rasa pendengar.

“Manis FM yang beroperasi sejak tahun 1999 menyasarkan pendengar dari peringkat umur 20 tahun hingga 45 tahun serta tampil dengan program yang lebih ceria,  interaktif dan infotainment .

“Bertemakan Gaya Pantai Timur, keunikan Manis FM adalah satu-satunya radio swasta yang mempunyai konti di Pantai Timur serta kandungan program yang bercirikan tempatan dengan barisan yang kesemuanya penyampai adalah berasal dari Pantai Timur,” katanya pada sidang media di Mini Auditorium MATIC, Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

pix manis

Manis FM memutarkan lagu-lagu popular sekitar tahun 80an, 90an, 2000, antarabangsa  dan terkini, di samping mengekalkan keunikan lagu-lagu tempatan negeri Pantai Timur yang sudah pasti menjadi kegemaran dan pilihan pendengar-pendengar Pantai Timur.

Ia adalah stesen radio bahasa Malaysia 24 jam yang dikendalikan oleh Husa Network Sdn. Bhd. dan bersiaran secara langsung dari studio di Pusat Komersil Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Manis FM merupakan stesen radio swasta pertama di Pantai Timur yang dimiliki oleh syarikat pelaburan Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Terengganu Incorporated Sdn. Bhd.

Sementara itu, Manis FM bersiaran di frekuensi 102.0FM di Terengganu, 90.6FM di Kelantan dan 95.1FM di Pahang serta boleh didengari melalui radio online di www.manis.fm dan aplikasi mudah alih dengan memuat turun secara percuma di Google Play  untuk Android dan di Apps Store untuk iOS.

Setaraf dengan radio swasta lain, Manis FM juga mempunyai platform media sosial yang interaktif seperti instagram, FB, dan twitter di @manisfm.

Segmen perdana Manis FM iaitu Manis Manis Pagi (6 pagi hingga 10pagi) mengabungkan tiga anak muda yang dikenali sebagai Timor Ranjes iaitu Rafly, Farid dan Ijoy Mushiro yang menggamatkan suasana pagi di Pantai Timur.

Rafly dan Farid merupakan penyampai yang berpengalaman dari stesen radio yang dikenali manakala Ijoy Mushiro pula adalah penyampai berbakat baru yang telah mempunyai pengikut tersendiri.

Selain itu, segmen perdana yang lain seperti Manis XPress dari pukul 3 petang hingga 7 malam dihoskan oleh penyampai sedia ada juga cukup dikenali di kalangan pendengar Pantai Timur iaitu Adam dengan gandingan Aishah seorang penyampai baru.

Segmen lain sepertiManis Sokmo pula dihoskan oleh Nura (10 pagi hingga 3 petang) dan Semanis Cinta (8 malam hingga  12 tengah maalam) dikendalikan oleh Memey kini semakin menjadi pilihan dengan seleksi lagu-lagu cinta yang hits dan terkini.

Manis FM juga tidak ketinggalan dengan segmen-segmen berbentuk keagamaan dan kerohanian menerusi segmen Semanis Rohani (7 malam hingga 8 malam) bersama PU Faiz, Al Fadhil Ustaz Mustafa Kamal, Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid dan Ustaz Syed Abd Kadir AlJoofre setiap hari. 

Selain daripada itu Manis FM juga memperkenalkan segmen Motivasi oleh Raja Shamri atau lebih dikenali sebagai Abang Raja yang semakin mendapat tempat di kalangan pendengar  Manis FM.

Stesen itu kini menganjurkan beberapa siri jelajah seperti Kembara Busking Manis FM Pantai Timur 2017  manakala Showcase Jelajah Havoc’Manis FM yang bakal menemui para pendengarnya di Terengganu, Kelantan dan Pahang pada April dan Mei ini.  – MalaysiaGazette