Bekas raja pecut negara Watson Nyambek bersama anggota keluarganya turut sama berkempen di sekitar pekan Lundu hari ini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu 18 Feb ini. fotoBERNAMA

LUNDU – Suasana kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu penuh berwarna-warni dengan warga Lundu hari ini melihat semangat ‘Tok Nan’ dibawa oleh ikon sukan Sarawak, Watson Nyambek ke pekan tersebut.

Memakai baju kemeja lengan panjang warna biru dan sweater warna coklat milik Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Watson membawa mesej kempen menyokong calon Barisan Nasional (BN) Datuk Jamilah Anu.

“Tadi saya pergi ke rumah Puan Sri (Jamilah), beliau telah hadiahkan baju ini sebagai kenangan saya kepada Tok Nan. Tahun lepas, bila beliau (Tok Nan) tahu saya dalam kesusahan, segera beliau hulur bantuan,” katanya yang kelihatan sebak.

Watson yang ditemui pemberita di Tebingan Sungai Lundu turut dilihat membawa poster bertulis ‘memperingati Allahyarham Tan Sri Adenan Satem 27 Januari 1944 – 11 Januari 2017’ dipenuhi tandatangan rakyat Sarawak.

Bekas pelari pecut kebangsaan itu berkata, beliau bukan pengundi kawasan itu namun datang membantu jentera BN supaya rakyat turun mengundi Jamilah.

“Dalam pertemuan tadi, Puan Sri juga beri amanat membantu kempen di kawasan Tanjong Datu.

“Beliau (Jamilah) mahu supaya pengundi turun menyokongnya (Jamilah) supaya boleh teruskan perjuangan selepas Tok Nan tinggalkan kita,” katanya.

Watson berkata secara peribadi beliau merasakan Jamilah calon berwawasan tinggi yang boleh membangunkan kawasan bandar atau luar bandar di Tanjong Datu.- MalaysiaGazette