Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui tersilap mempercayai empat pemimpin dari Melaka yang keluar parti itu semalam, selepas mereka tewas dalam pemilihan Konvensyen DAP dua tahun lalu.

Katanya, sepatutnya apabila keempat-empat wakil rakyat itu tewas merebut jawatan, beliau tidak perlu lagi melayan atau memberi keistimewaan kepada mereka sebagai ahli parti.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San keluar DAP kerana kecewa kalah dalam pertandingan merebut jawatan Pengerusi DAP Melaka.

“Begitu juga dengan tiga rakannya itu. Mereka juga tewas bertanding merebut jawatan dalam kepimpinan parti pada pemilihan Konvensyen DAP Melaka 2015.

“Kalau mereka keluar parti dan menyertai Bebas, itu memang patutlah,” katanya dalam kenyataan kepada media di Pulau Pinang, hari ini.

Tiga lagi wakil rakyat DAP Melaka yang keluar parti ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Bachang, Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong.

Tindakan yang diambil keempat wakil rakyat itu, menyebabkan pengurusan politik DAP Melaka kini lumpuh dan gagal berfungsi dengan baik.

Setakat ini, DAP negeri itu mempunyai tiga lagi wakil rakyat yang masih kekal, iaitu ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; ADUN Kota Laksamana, Lai Keun Ban dan ADUN Banda Hilir, Tay Kok Kiew.

Sebelum ini, Guan Eng mengambil sikap menjauhkan diri dari media dan enggan membuat sebarang ulasan berhubung DAP kehilangan empat wakil rakyatnya di Melaka. – MalaysiaGazette