Pep Guardiola akur sukar untuk menentukan masa depan Sergio Aguero bersama City selepas ini. Foto: The Sun

ENGLAND – Minggu lalu, Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menangkis khabar angin penyerangnya, Sergio Aguero akan kekal di Stadium Etihad.

Semalam, pemain antarabangsa Argentina berusia 28 itu pula menyatakan niatnya untuk meninggalkan pasukannya kerana khidmatnya tidak lagi dihargai oleh Guardiola musim ini.

Kini The Sun di England sekali lagi memetik kenyataan Guardiola berkata kononnya bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu akur yang Aguero mungkin tidak mempunyai masa depan bersama City.

Menurut Guardiola, beliau berdepan masalah dan bergelut untuk memastikan Aguero kekal dalam pasukan utama.

Beliau juga mengaku dia tidak dapat memastikan sama ada Aguero masih mempunyai masa depan panjang di Etihad atau sebaliknya.

“Saya keliru dan tak pasti apa yang akan berlaku nanti, Sergio tahu akan kehendak pengurus dan kelab. Lagipun saya tidak mahu jual dia dan mahu pemain itu kekal lama di sini sehinggalah masa depannya ditentukan.

“Kami sangat rindui semasa dia digantung tujuh perlawanan sebelum ini, saya sedar akan tahap perlawanannya dan sumbangan kepada kelab ini.

“Namun, saya masih belum dapat memastikan apa yang akan berlaku di penghujung musim ini nanti,” katanya.

Guardiola juga mengakui agak sukar untuk mengeluarkan Gabriel Jesus,Leroy Sane dan Raheem Sterling dari prestasi semasa yang sangat memberangsangkan.

“Inilah satu-satunya punca Sergio tidak diturunkan pada dua perlawanan terakhir,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette