Dzulkifli Ahmad
KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia mengkaji keperluan untuk pihaknya menyaring bakal penerima gelaran darjah kebesaran di negara ini bagi memastikan hanya individu yang berkelayakan sahaja dikurniakan anugerah itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata setakat ini, tapisan hanya dibuat jika ada permohonan daripada pihak yang mengeluarkan gelaran itu.

“Kalau ada pihak yang memohon (untuk SPRM membuat tapisan sebagaimana yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia) kita akan kaji semua, sama ada ia satu keperluan,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa premis agensi kerajaan di Kompleks Hentian Kajang, di sini hari ini.

Beliau mengulas isu beberapa penerima darjah kebesaran membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ yang dikatakan terbabit dalam kegiatan kongsi gelap baru-baru ini.

Pada 8 Feb lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mendedahkan seorang ‘Datuk Seri’ dan lima ‘Datuk’ antara 114 anggota beberapa kumpulan kongsi gelap yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam Ops Cantas sejak 2015.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata SPRM akan meneruskan program lawatan ke agensi-agensi kerajaan di seluruh negara untuk mendekatkan suruhanjaya itu dengan masyarakat.

“Program ini akan berterusan di seluruh negara, pengarah-pengarah saya telah diarahkan untuk membuat lawatan di setiap agensi kerajaan dari semasa ke semasa.

“Kita akan memastikan di sana ada akses kepada rakyat untuk membuat aduan, kekuatan daripada SPRM adalah sumber daripada rakyat, jadi kita mohon dan seru orang ramai untuk tampil memberi maklumat kepada SPRM,” katanya.

Menurutnya, kejayaan SPRM mengheret beberapa suspek berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa ke mahkamah adalah susulan kerjasama orang ramai yang tampil memberi maklumat.

— BERNAMA