KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada PAS akan meneruskan atau menggantung kerjasama politik dengan PKR bakal diputuskan pada April depan semasa muktamar parti Islam tersebut.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan yang berkata usul berhubung kerjasama politik dengan PKR khususnya di Selangor dibawa oleh Dewan Muslimat pada muktamar sebelum ini.

“Sehingga hari ni masih ada lagi hubungan tahaluf siyasi, kita dah buat kenyataan rasmi melalui presiden bahawa muktamar akan menentukan.

“Yang ada hubungan itu pun muktamar, nak putuskan, nak teruskan gantung pada muktamar,” beliau dipetik berkata semasa sidang media hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu akan membincangkan tahaluf siyasi dengan PKR pada muktamar tahunan parti yang dijadualkan di Alor Setar dari 29 April hingga 1 Mei nanti.

PAS ketika ini hanya menjalinkan hubungan politik secara formal dengan PKR tetapi tidak dengan DAP dan parti serpihan, Parti Amanah Negara selepas perpecahan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat. – MalaysiaGazette