Home Utama KDNK negara 4.2% pada 2016

KDNK negara 4.2% pada 2016

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku keempat 2016  disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta, menjadikan pertumbuhan pada tahun 2016 kepada 4.2 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, dari segi penawaran, pertumbuhan terus dipacu oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan. Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara mencatat pertumbuhan mampan sebanyak 1.4 peratus.

Secara keseluruhan, permintaan dalam negeri berkembang pada kadar yang lebih sederhana, memandangkan peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta telah lebih daripada diimbangi oleh kemerosotan dalam perbelanjaan awam.

Menurut BNM, aktiviti ekonomi global terus berkembang pada suku keempat 2016 namun ekonomi maju mengalami trend pertumbuhan yang tidak sekata, disebabkan sebahagiannya oleh kekukuhan penggunaan swasta yang berbeza dalam keadaan kitaran dan struktur yang lemah.

Di Asia, aktiviti ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri. Perkembangan yang penting ialah sektor luaran dalam beberapa ekonomi mula menyumbang kepada pertumbuhan setelah mengalami pertumbuhan negatif suku tahunan berturut-turut.

Turun naik pasaran kewangan makin nyata akibat kebimbangan terhadap isu-isu utama dalam ekonomi maju, seperti isu ketidakpastian dasar dan politik selepas keputusan pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) dan juga referendum di United Kingdom (UK) untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Secara keseluruhan, keadaan monetari global kekal sangat akomodatif meskipun terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap pertumbuhan, dan inflasi yang sungguhpun meningkat namun masih rendah, kata BNM.

Pada suku keempat, penggunaan swasta mencatatkan 6.2 peratus, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan.

Pelaburan swasta mencatat peningkatan 4.9 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga berikutan perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Walaupun pertumbuhan pelaburan awam bertambah baik, terutamanya hasil daripada perbelanjaan lebih tinggi untuk aset tetap oleh syarikat-syarikat awam, namun secara keseluruhan ia terus menguncup pada suku keempat.

“Penggunaan awam juga merosot sebanyak 4.2 peratus  disebabkan rasionalisasi perbelanjaan untuk bekalan
dan perkhidmatan, dan pertumbuhan sederhana untuk perbelanjaan emolumen,” katanya di sini.

Eksport bersih menyumbang secara positif kepada pertumbuhan apabila eksport benar berkembang dengan lebih cepat berbanding dengan import benar.

Dari segi penawaran, pertumbuhan dalam sektor perkilangan, perlombongan dan pertanian bertambah baik.

Sektor perkilangan berkembang dengan lebih cepat disebabkan oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam industri-industri berorientasikan dalam negeri dan eksport manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan yang lebih baik hasil daripada pengeluaran gas asli yang lebih tinggi pada suku itu.

Aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian menguncup pada kadar yang lebih perlahan, mencerminkan kesan El Nino yang semakin berkurang terhadap kadar hasil minyak sawit mentah.

Sektor perkhidmatan terus berkembang, namun pada kadar yang lebih sederhana, disokong terutamanya oleh perkhidmatan berkaitan penggunaan manakala pertumbuhan sektor pembinaan terus didorong oleh subsektor kejuruteraan awam. – MalaysiaGazette