KUALA LUMPUR – Pas memberi bayangan awal saingan tiga tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak dapat dielak lagi apabila blok pembangkang gagal mencari titik pertemuan.

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang menyifatkan kenyataan terbaharu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tidak sujud di kaki Pas sebagai pengesahan tidak rasmi senario hubungan politik antara kedua-dua parti itu.

“Persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan,” katanya dalam entri di laman Facebooknya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Kuala Terengganu, semalam mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Menurut Abdul Hadi, keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Pas sebelum ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, kekuatan Pas untuk bergerak sendiri memimpin blok ketiga menyebabkan DAP, PAN, PKR dan PPBM menyerang Pas secara berterusan dan mengaitkannya sebagai sekutu UMNO. – MalaysiaGazette

Comments are closed.