Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai tangan kepada peserta SL1M ketika hadir bagi merasmikan Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2017 serta Majlis Pelancaran Buku & Sistem SL1M di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu syarikat besar yang tersenarai di Bursa Malaysia mengambil bahagian dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Perdana Menteri menegaskan, beliau akan memastikan supaya semua syarikat berkenaan menyertai program itu.

“Kalau tak ambil bahagian dalam skim ini, jangan harap kontrak daripada kerajaan.

“Saya akan arahkan perbendaharaan untuk jadikan ini sebagai pra syarat kepada syarikat-syarikat berkenaan yang mahu mendapatkan kontrak besar kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang ini.

Menurut Najib, langkah yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah sebagai timbal balik di atas apa yang mereka (syarikat) dapat dan ia harus disumbangkan semula kepada masyarakat.

Katanya, kerajaan melihat itu sebagai satu perspektif besar kerana impaknya memberi kesan kepada golongan muda khususnya golongan sasaran yang mengharapkan pekerjaan.

Tambah beliau, SL1M yang dilaksanakan sejak 2011 telah memberi manfaat kepada lebih 99,000 orang peserta yang kesemuanya telah berjaya memiliki kerjaya dalam pelbagai bidang di beberapa sektor.

Justeru katanya, kerajaan pada tahun ini mahu melibatkan lebih 20,000 lagi peserta di dalam program berkenaan di mana mereka akan dibayar elaun oleh pihak syarikat dengan lingkungan jumlah RM1,500.

Program yang diselia oleh Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri itu dijayakan melalui kerjasama dan penglibatan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta secara tanggungjawab sosial dan korporat.

Kesemua perbelanjaan bagi melatih para graduan dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat yang menjalankan latihan kepada peserta.

Kumpulan sasaran yang menyertai program berkenaan merupakan graduan menganggur yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau tinggal di kawasan pedalaman serta graduan yang berkerja tetapi tidak setaraf dengan kelulusan ijazah yang diperolehi. – MalaysiaGazette.