KUALA LUMPUR – Dinasti dua beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng akan runtuh kerana kerjasama yang dijalin mereka dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dakwa Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Reaksi Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Presiden DAP, Lim Kit Siang, sewaktu mendengar ucapan dasar presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.
Reaksi Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Presiden DAP, Lim Kit Siang, sewaktu mendengar ucapan dasar presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata krisis dalaman kini sedang melanda DAP memandangkan ahli parti sudah tidak senang dengan kehadiran Dr Mahathir yang dilihat hanya memperalatkan mereka.

“Kes rasuah Guan Eng yang akan dibicara mulai Mac depan dan kredibiliti Kit Siang yang semakin dipersoalkan memberi petanda bahawa dinasti Lim semakin tertekan.

“Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rakan sekutu Kit Siang turut menjadi pemusnah Dinasti Lim kerana sebahagian kepimpinan DAP menganggap Tun M hanya memperalatkan DAP dan Kit Siang untuk memenuhi cita cita peribadinya menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri,” kata Dr Puad di dalam satu entri di laman sosial Facebooknya pada Selasa.

Menurut Dr Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), amalan autokratik Guan Eng di Pulau Pinang dan imej Kit Siang yang tidak konsisten dalam banyak isu terutamanya dalam isu forex dan BMF akan menyebabkan dinasti Lim menunggu masa untuk musnah.

Walaupun mendabik dada kononnya DAP memperjuangkan sistem demokrasi tulen, tetapi sudah begitu lama kepimpinan tertingginya dikuasai oleh dinasti keluarga yang sama menunjukkan ia tidak demokratik.

“Bagaimana bapa dan anak ini boleh bertahan lama? Bahkan tidak ada tanda tanda mereka berdua ini merancang peralihan kuasa supaya imej dinasti keluarga ini tidak mencemarkan imej DAP yang kononnya memperjuangkan sistem yang demokratik.

“Apakah DAP sebuah parti yang demokratik? Ada yang menjawab secara sinis, jika kita percaya Korea Utara adalah sebuah negara yang demokratik kerana ia dikenali sebagai Democratic People’s Republic of North Korea (DPRK) maka bolehlah dipercayai DAP juga adalah sebuah parti yang demokratik,” katanya.

Mengambil contoh cengkaman demokrasi dalam DAP adalah berdasarkan pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP pada Disember 2012 yang boleh diubah 19 hari berikutnya atas alasan kesilapan teknikal.

Zairil Khir Johari yang mulanya tewas dengan 305 undi kemudiannya diistiharkan menang dengan 803 undi.

“Ahli DAP mendakwa keputusan itu diubah melalui manipulasi pengiraan dalam komputer. Sehingga hari ini RoS masih belum mengiktiraf keputusan pemilihan CEC parti tersebut.

“Sebab itu Kit Siang tidak layak membawa slogan ‘UBAH’ kalau dinasti Lim terus menguasai parti dan sistem pemilihan parti masih menggunakan sistem tidak telus. Apatah lagi, anggota CEC parti dipilih oleh sekelompok kecil perwakilan dan bukannya oleh ahli akar umbi yang lebih ramai,” katanya. – MalaysiaGazette