Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad meramalkan partinya akan diserang teruk gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Menurutnya, peristiwa ceramah Pas yang serang oleh kepimpinan UMNO pada PRU pada 1964 akan berulang semula namun kali ini namun bukan daripada pihak kerajaan.

“Telah diramal PRU14 paling ganas, ceramah Pas akan diserang seperti tahun 1960, tetapi bukan oleh UMNO!,” tulis beliau dalam status terkini Facebooknya hari ini.

Pada PRU 1960, Pas diserang teruk Parti Perikatan disebabkan isu konfrantasi yang membawa kesan buruk kepada Pas yang dipimpin Dr. Burhanuddin ketika itu.

Prestasi Pas pada masa itu merudum dengan hanya memperoleh lapan kerusi Parlimen di Kelantan dan satu kerusi Parlimen di Terengganu berbanding 13 kerusi parlimen pada tahun 1959.

Pas dan UMNO kini cenderung untuk bekerjasama terutama dalam memastikan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 dijayakan di Dewan Rakyat.

Ini terbukti apabila kepimpinan UMNO sepentas pada Himpunan RUU355 anjuran Pas di Padang Merbok Sabtu lalu dan antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut beliau, kerajaan akan memperhalusi cadangan pindaan itu dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan termasuk rakyat bukan Islam sebelum mengambilalih pindaan berkenaan selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Malah kedua-dua parti juga pernah sepentas dalam program Himpunan Solidariti Ummah Rohingya yang diadakan di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada 24 November lalu. – MalaysiaGazette