Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed (kanan) mencuba alatan kesihatan semasa lawatan cawangan gergasi Decathlon di Decathlon, Bandar Sri Damansara. foto ADIB AIMAN ROSLI, 23 FEBRUARI 2017

PETALING JAYA- Syarikat pakaian dan peralatan sukan dan rekreasi terbesar Perancis, Decathlon melabur sebanyak RM50 juta bagi membina gudang baharu bagi hab pengedaran di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Dong Meng berkata, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada pertambahan 150 peluang pekerjaan baharu dan aktiviti rangkaian bekalan seperti pengurusan gudang, pemerolehan dan pengedaran, pakar peruncitan dan pengurusan logistik.

Pelaburan tersebut juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada penyedia perkhidmatan tempatan seperti pengangkutan dan kontena.

“Operasi tersebut akan meningkatkan penggunaan pelabuhan tempatan terutamanya Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana syarikat tersebut akan membawa produk kami keluar dan masuk menerusi pintu Malaysia,” katanya semasa sidang media sempena lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke Decathlon Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu Decathlon Malaysia berjaya meningkatkan jualan sehingga tiga kali ganda dalam tempoh sembilan bulan pertama beroperasi di negara ini.

Gedung pertama yang terletak di Bandar Sri Damansara dekat sini menggaji 90 orang pekerja dan bakal menambah dua lagi cawangan pada tahun ini dan hadapan di Shah Alam serta Subang Jaya,.

Premis-premis baharu itu akan merekrut sekurang-kurangnya 50 rakyat tempatan bagi setiap cawangan dan membuka lebih banyak peluang latihan industri kepada generasi muda, katanya.- MalaysiaGazette