Anifah Aman

PUTRAJAYA – Kementerian Luar menegaskan tiada keperluan untuk menjawab tuduhan Duta Korea Utara yang mempersoalkan cara polis Malaysia menjalankan siasatan terhadap pembunuhan Kim Jong-nam.

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, siasatan polis masih lagi dijalankan dan biarkan mereka mencari punca kematian abang tiri pemimpin Korea Utara itu serta pihak yang bertanggung jawab membunuhnya.

“Satu dunia tahu bahawa siasatan dijalankan dengan objektif, telus dan adil.

“Malah Duta Korea Utara juga telah dimaklumkan mengenai proses-proses yang diambil semasa siasatan dilakukan tetapi beliau masih memilih untuk tidak mempercayainya dan terus membuat pelabagai tuduhan kepada Malaysia.

“Duta tersebut perlu ingat bahawa beliau bukan sahaja melukakan hati kerajaan Malaysia malah hati seluruh rakyat negara ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra di sini hari ini.

Jelas Anifah, Malaysia sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain namun mengharapkan ia juga menerima layanan yang sama daripada negara lain.

Tambahnya, sebagai sebuah negara bertanggung jawab, Malaysia sentiasa mengamalkan obligasi antarabangsa bersandar kepada undang-undang dan amalan global.

“Saya harap Duta Korea Utara gembira dengan keyakinan kerajaan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette