KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia disaran memberi fokus kepada hutang sihat dalam usaha menjana kekayaan pendapatan pada masa depan.

Perancang kewangan bertauliah, Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff berkata, contoh hutang sihat adalah dengan menggunakan pinjaman untuk menambah aset, mengembangkan perniagaan, pembelian saham dan sebagainya.

Jelasnya yang juga Pengarah Urusan Firma Badrul & Co, tidak kira apa yang masyarakat beli, pastikan ianya boleh menjana lebih banyak wang masuk ke dalam poket mereka.

“Secara umumnya hutang ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu hutang sihat dan hutang tidak sihat. Hutang sihat akan menjadikan anda lebih kaya, manakala hutang tidak sihat akan menjadikan anda semakin miskin.

“Oleh itu, masyarakat perlu fokus kepada hutang sihat. Namun hutang sihat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi.

“Kebiasaannya, pihak bank lebih mudah memberi pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat berbanding hutang sihat.

“Contohnya anda lebih mudah mendapat pinjaman untuk membeli kereta, membeli motosikal berkuasa tinggi, memiliki kad kredit, pinjaman peribadi, skim ansuran mudah dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Badrul menambah sekiranya masyarakat cuba memohon pinjaman untuk mengembangkan perniagaan atau membeli hartanah untuk pelaburan, ianya amat sukar.

Jadi katanya, tidak hairanlah mengapa ramai yang memilih untuk membuat pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat.

“Terlalu banyak hutang tidak sihat biasanya akan lebih menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman untuk membiayai hutang sihat.

“Contohnya sekiranya anda mempunyai banyak hutang kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya, kemungkinan besar anda sukar mendapatkan pinjaman untuk mendapatkan modal perniagaan dan juga pembelian hartanah untuk pelaburan,” katanya.

Badrul memiliki pengalaman luas dalam bidang hartanah, pengurusan kewangan, khidmat latihan dan perbankan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pengurusan kanan  di beberapa syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kewangan termasuklah Bursa Malaysia sebelum menguruskan firma Badrul & Co secara sepenuhnya.

Untuk maklumat lanjut pembaca boleh melayari Facebook beliau iaitu Dr. Bad Yusoff. – MalaysiaGazette