KUALA LUMPUR – Tindakan Pas Pokok Sena mengusir Ahli Parlimennya, Datuk Mahfuz Omar jelas menunjukkan parti itu sedang menghadapi krisis kepimpinan yang kronik di Kedah.

Naib Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Al Mahsri berkata, sejak tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN) yang diterajui sebilangan bekas pemimpin Pas, ia dilihat memberi kesan ‘benci tetapi rindu’ kepada Pas.

“Dalam kes Mahfuz sendiri, beliau kelihatan keliru sama ada memilih PAN atau mengikut parti PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Ini jelas apabila beliau sering berada di pentas PPBM dalam ceramah anjuran parti berkenaan.

“Berbalik kepada tindakan Pas Pokok Sena, tindakan pengusiran itu jelas menggambarkan perasaan gelodak parti itu terhadap Mahfuz yang tidak menjalankan tugas sebagai ahli parti Pas.

“Tindakan itu juga menimbulkan persoalan adakah Pas Pokok Sena sedang menghadapi masalah dalaman yang serius antara penyokong dan penentang Mahfuz,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan berkata, Mahfuz juga sepatutnya malu apabila menyatakan masih lagi sayangkan Pas walaupun telah diusir parti berkenaan.

Mahfuz Omar.
Mahfuz Omar.

Katanya, tindakan Mahfuz yang tidak mahu keluar daripada Pas jelas menggambarkan ketakutannya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang apabila tiada lagi sokongan pengundi di kawasannya.

Ini kerana katanya, kemenangan Mahfuz di peringkat Parlimen Pokok Sena adalah kerana sokongan kuat ahli Pas kawasan itu.

Tambah beliau, sekiranya Mahfuz bertanding atas tiket PAN atau PPBM, sokongannya tidak akan kuat sepertimana beliau bersama Pas kerana kedua-dua parti itu tidak mempunyai pengaruh yang kuat di Kedah.

“Dalam hal ini jelas menampakkan bahawa Mahfuz hanya memikirkan kedudukannya sahaja dalam mengekalkan kerusi sebagai ahli Parlimen,” ujar Syed Mohd. Johan. – MalaysiaGazette.