Pemimpin pembangkang dalam mesyuarat awal jalinan kerjasama yang kemudiannya membawa kepada penubuhan pakatan harapan. - foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Desas-desus Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di Selangor tanpa merujuk kepada Pas terlebih dahulu telah menimbulkan tanda tanya bagaimana nasib parti Islam di negeri terkaya tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Pas berjaya meraih 15 kerusi daripada 20 kerusi yang ditandinginya, menyamai kemenangan kerusi DAP dan PKR pula sekadar 14 kerusi.

Mengambil kira senario politik semasa, sudah hampir pasti Pas bakal ditinggalkan bersendirian apatah lagi dikatakan rundingan kerusi di Selangor dibuat tanpa merujuk kepada parti Islam itu.

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir menyifatkan peluang Pas di Selangor masih cerah walaupun tanpa bersama PH memandangkan sokongan masyarakat Melayu kepada mereka masih utuh dan dilihat sebagai parti kedua selepas UMNO.

“Sebenarnya kalau kita lihat, sejarah Pas ini adalah parti selepas UMNO, kekuatan dia banyak dan ramai orang sokong mereka, penubuhan PAN saya lihat tidak menjejaskan Pas pun.

“Kalau Pas nak bersendirian pun di Selangor, dia ada kekuatan. Kalau dia tak bekerjasama dengan PPBM atau PKR pun tidak apa. Cuma mungkin gerak kerja mereka kena lebih sebab yang lain ada kumpulan, parti lain ada pakatan yang support. Maknanya Pas kena kerja dua kali ganda daripada biasa,” kata Salawati kepada MalaysiaGazette.

Menurut Salawati, pengundi kaum Melayu beragama Islam tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada Pas bagaimanapun pengundi bukan Islam yang tersilap faham mengenai RUU355 mungkin tidak memberi sokongan dengan Pas dalam pilihan raya umum nanti.

“Saya rasa orang Melayu tidak ada masalah, tapi kaum lain mungkin berkurangan sebab kerana RUU yang baharu dibentangkan. RUU ini saya rasa menjejaskan Pas sangat banyak kerana banyak dikalangan orang bukan Islam mereka tersilap tentang RUU ini.

“Jadi maknanya RUU ini telah menyebabkan orang bukan Islam di kawasan bandar ini tidak mempercayai Pas atau pun mendengar khabar sebaliknya, mereka tersilap faham,” ujarnya.

Kelebihan juga di sebelah Pas jika mereka bersendirian, kata Salawati, ia disebabkan mereka bebas untuk membuat keputusan dan tidak lagi terikat dengan keputusan dibuat oleh PH nanti khususnya dalam isu pembahagian kerusi.

“Dahulu Pas berada dalam Pakatan, jadi mereka terpaksa banyak berkorban. Jadi pada saya, mereka kini bebas nak buat keputusan dan jadi lebih bebas. Mereka boleh mengorak dengan strategi politik sendiri di Selangor.

“Cerah Pas memerintah di Selangor itu memang ada, cuma perlu mengekalkan momentum mereka dan memperkenalkan diri dikawasan yang mereka ingin bertanding,” katanya.

Mengulas mengenai pelawaan Naib Pengerusi Perhubungan UMNO, Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan untuk bekerjasama dengan Pas, Salawati berkata, syarat yang diletak perlu diteliti terlebih dahulu agar dapat mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi kedua-dua belah pihak.

“Kena lihat syarat dahulu, ia mesti kena situasi ‘menang-menang’. Lagipun sudah banyak kerjasama politik dengan UMNO, jadi saya tidak terkejut jika mereka bekerjasama dalam pilihan raya nanti kemudiaannya,” kata beliau.