Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol (dua dari kanan) dan isterinya (tengah) dilihat meningggalkan Kedutaan Korea Utara pada kira-kira jam 3.55 petang selepas diusir keluar oleh Kerajaan Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 06 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Duta Besar Korea Utara, Kang Chol meninggalkan bangunan kedutaan tepat jam 3.55 petang ini iaitu kira-kira dua jam sebelum tamat tempoh beliau dibenarkan berada di negara ini.

Kang Chol ‘menghilangkan diri’ selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra petang Sabtu lalu.

Beliau diberi tempoh 48 jam iaitu hingga pukul 6 petang ini untuk meninggalkan Malaysia selepas diisytihar persona non grata oleh kerajaan.

Duta Besar itu menimbulkan kontroversi apabila mempersoalkan cara Malaysia mengendalikan kes pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara.

Beliau akan kembali ke Korea Utara dengan menaiki pesawat Kuala Lumpur Beijing pada pukul 6.25 petang ini.- MalaysiaGazette