Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bimbang dengan keselamatan para pemain bola sepak negara, Khairy Jamaluddin sendiri akan berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi membincangkan perlawanan dengan Korea Utara yang dijadualkan pada 28 Mac depan di Pyongyang.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, akan bertemu dengan Datuk Hamidin Mohd Amin dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai penganjuran perlawanan berkenaan pada ketika suhu hubungan kedua-dua negara yang agak meruncing.

“Saya akan berbincang dengan FAM dan selepas itu pihak FAM akan memaklumkan pada (Konfederasi Bola Sepak Asia)AFC dengan keputusan itu.

“Saya tak nak melangkaui keputusan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas Perasmian Sesi Kelima Sidang Parlimen Parlimen Ke-13.

Khairy diminta mengulas berhubung perlawanan tersebut memandangkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia sudah diusir keluar.

Terdahulu, dunia dikejutkan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila sejam kemudian dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun.

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol.

Kematian warganegara Korea Utara menyebabkan kedua-dua negara berbeza pendapat dan pandangan mengenai siapa yang berhak mendapatkan mayat mendiang.-MalaysiaGazette