Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz tidak kisah langsung digelar pondan oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Ahli  Parlimen Padang Rengas itu sebaliknya menggelarkan Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam ahli politik yang gagal dalam karier politiknya.

“Dia pernah tewas pada  PRU-12 di tangan kawan saya, Datuk Johari Abdul daripada PKR .

“Jadi saya tak kisah langsung sebab dia ahli politik tersingkir,” katanya memetik laporan sebuah portal politik hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Zainuddin dalam entri Twitter miliknya bagi mempertahankan Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad yang bertikam lidah dengan Nazri hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, Nazri berkata beliau ‘seronok’ melihat reaksi bekas menteri itu apabila berjaya menimbulkan kemarahan beliau.

“Memang saya berniat mahu menyakiti hati Tun Mahathir Mohamad serta penyokong dan jelas sekali dia sakit hati apabila dia menjawab dan saya sangat gembira sebenarnya.

“Kesimpulannya, saya berada di sini bukan untuk menggembirakan mereka. Saya di sini hanya untuk melakukan kerja saya,” jelas Nazri lagi.

Nazri sebelum ini mencabar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Mahathir atau Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya bertanding menentang beliau di Parlimen Padang Rengas.

Dr Mahathir bagaimanapun membalas cabaran itu dengan mengajak Nazri bertanding menentang beliau di Langkawi. -MalaysiaGazette.