Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat ruang pameran sambil diiringi Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (kanan) turut serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,08 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dibina kerajaan untuk menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang apabila siap sepenuhnya kelak bakal melonjakkan pertumbuhan ekonom negeri-negeri di pantai timur sebanyak 1.5 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ECRL bermula dari Wakaf Baru, Kelantan hinggalah ke ITT Gombak akan melalui empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sepanjang 600.3km dan akan turut disambungkan ke Pelabuhan Klang.

“Selama ini kita memang mencari untuk menutup jurang pembangunan di antara Pantai Barat dan Pantai Timur. Kalaulah adanya satu-satu projek yang boleh dianggap sebagai ‘game-changer’, tidak lain tidak bukan ialah projek ECRL.

“Inilah projek yang boleh memaju kadar pertumbuhan yang lebih tinggi lagi untuk negeri-negeri Pantai Timur,” kata dalam majlis pelancaran Pemeriksaan Awam laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan projek ECRL dengan menuduh kerajaan menjual maruah negara apabila memilih China Communications Construction Company (CCCC) milik China untuk menjayakan projek tersebut.

“Janganlah politikkan projek ini. Projek ini adalah untuk kebaikan negara, untuk keselesaan masyarakat, khususnya di Pantai Timur,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Nancy Shukri.

 

Isu ECRL mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat tahun lalu apabila ahli-ahli parlimen pembangkang mempertikai projek tersebut.

Sebelum ini  Abdul Rahman memberitahu, projek ECRL dipunyai 100 peratus oleh kerajaan sedangkan CCCC hanya membina landasan.

“Saya dengar pihak pembangkang kata kita jual maruah negara. Ini salah. Sebenarnya, ECRL akan dipunyai oleh kita 100 peratus, dioperasi oleh kerajaan, CCCC hanya bina landasan.

“Tuduhan pembangkang bahawa kita jual maruah kita hanya retorik politik yang mahu mengelirukan rakyat,” katanya November lalu.

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut mengkritik pembinaan projek berkenaan dengan berkata rakyat akan menanggung bebanan hutang berpuluh tahun sebagai akibat sikap kerajaan yang gemar berhutang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,08 MAC 2017
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,08 MAC 2017

Dalam pada itu Najib berkata tidak salah untuk Malaysia menjalin hubungan dengan mana-mana negara yang memberikan keuntungan kepada negara.

Ujarnya lagi, Malaysia sebagai negara membangun perlu kepada kerjasama antarabangsa bagi memacu negara kearah negara maju menjelang 2020.

“Memang kita buat hubungan dengan China sebagai dengan pinjaman dari Exim Bank, dengan China kita wujudkan kerjasama antarabangsa. Sudah tentu mengukuhkan hubungan antara negara.

“Tak ada salahnya kalau kita ada hubungan dengan ekonomi terbesar di dunia yang ada kemampuan seperti China. Kita juga buat hubungan dengan Arab Saudi, India, USA dan Jepun selain dari negara ASEAN yang menguntungkan negara.

“Jadi tak ada salahnya kita mempunyai hubungan dengan ekonomi terbesar di dunia,” katanya menjawab dakwaan pembangkang.

ECRL akan siap sepenuhnya Julai 2024 malah bakal menjadikan Malaysia sebagai ekonomi terbesar dalam 2030. -MalaysiaGazette.