pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang Ketua Pemuda bahagian sebuah parti politik di negeri ini dan rakannya direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan penawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sejak tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 43 tahun dan rakan wanitanya yang berumur 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Kedua-dua mereka yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira 3 petang.

Difahamkan, kedua-dua mereka ditahan polis ketika dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini kira-kira 5 petang semalam.

Penahanan dilakukan dipercayai susulan empat laporan polis yang dibuat oleh empat mangsa penipuan berkenaan RMMJ membabitkan nilai kerugian berjumlah RM120,000.

— BERNAMA