Pengundi-pengundi membuat semakan di kaunter semak daftar pemilih sebelum masuk ke bilik mengundi. - Gambar hiasan
PULAU PINANG – Pengundi Cina di Pulau Pinang akan merosot ke tahap 35 peratus berbanding kaum lain pada 20 tahun akan datang jika dihitung berdasarkan kadar semasa.
Jumlah penduduk Melayu yang meningkat secara mendadak sejak 10 tahun lalu merupakan trend yang mengambil tempat bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi seluruh Malaysia.
Perubahan struktur penduduk bagaimanapun tidak akan memberi implikasi segera kepada keadaan politik Pulau Pinang, sebaliknya Perak telah menerima kesan mustahak daripadanya.
Ketua Informasi Biro Pilihan Raya PKR, Chan Ming Kai berkata, Perak pernah jatuh ke tangan pembangkang pada 2008 tetapi dirampas semula Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013.
Ming Kai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan di Perlis memberitahu Kwong Wah Daily, pembangkang gagal ‘menawan’ Perak kerana undi kaum Cina gagal ‘ditukar’ kepada kerusi.
“Ramai yang bertanya-tanya kenapa pembangkang gagal memerintah walaupun hampir 80 peratus pengundi Cina memberi sokongan kepadanya.
“Jawapannya senang sahaja, iaitu kerana pengundi Cina hanya tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja,” katanya.
Ming Kai berkata, satu pertiga daripada pengundi Cina di Perak tinggal di Ipoh dan gagal ‘menakluk’ Perak walaupun memenangi semua kerusi di kawasan Ipoh.
Mengenai keadaan di Pulau Pinang, Ming Kai berkata, pembangkang mampu menang di sekurang-kurangnya tujuh kawasan Melayu yang dipegang UMNO, jika 10 peratus pengundi Cina dari kawasan lain berpindah ke situ.
Kawasan yang dimaksudkan termasuk Bertam, Pinang Tunggal, Telok Ayer Tawar dan Batu Maung. – MalaysiaGazette