KANGAR – Bekas pengendali pasukan Perak, Shamsul Saad sah menjadi ketua jurulatih baharu Perlis berkuat kuasa hari ini menggantikan Razip Ismail.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang serius prestasi terkini pasukan itu dan khidmat Shamsul diperlukan bagi menambahbaik skuad Singa Utara.

“Rombakan barisan kejurulatihan adalah usaha awal untuk memulihkan prestasi pasukan sebelum langkah seterusnya diambil semasa jendela perpindahan pada bulan Mei nanti.

“PFA ingin mengajak seluruh penyokong pasukan Singa Utara untuk sama-sama menyokong dan mengalukan penyertaan Shamsul sebagai ketua jurulatih yang baharu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rozabil pada masa sama mengucapkan terima kasih serta menghargai sumbangan dan usaha Razip yang sebelum ini menjawat jawatan itu pada awal saingan liga.

Razip melepaskan jawatan sejurus perlawanan antara Perlis dengan Kuantan FA yang menyaksikan Singa Utara dibelasah 5-0 pada Jumaat lalu.

Perlis kini berada di kedudukan terbawah Liga Perdana dengan hanya mengumpul dua mata selepas lapan perlawanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast