KUALA LUMPUR – Siasatan melibatkan dua bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Corporation Bhd (1MDB), Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, selesai, dan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat pelaburan strategik tersebut, kata Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB atas kegagalan mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“1MDB telah pun membayar kompaun tersebut sepenuhnya,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawap pertanyaan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya).

Wong bertanyakan MOF mengenai kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menghubungi dua individu berkenaan, selain sama ada individu berkenaan masih tersenarai dalam senarai pengamatan BNM.

Kementerian Kewangan berkata berikutan penyelesaian siasatan berkenaan, kedua-dua individu terbabit tidak lagi diletakkan di bawah pemantauan BNM, kecuali sekiranya terdapat sebarang maklumat baharu berkaitan pelanggaran peruntukan undang-undang yang dikawal selia oleh BNM.

— BERNAMA