Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan tidak akan berlaku penggunaan jari palsu dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Sebaliknya, suruhanjaya itu memberi jaminan proses pilihan raya yang dikendalikannya adalah bersih, telus dan bebas daripada sebarang penipuan dan penyelewengan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya memberi jaminan kepada semua pihak bahawa perkara seperti itu tidak akan dibiarkan berlaku dalam proses pilihan raya akan datang.

“SPR turut akan memastikan tiada sebarang penipuan atau penyelewengan berlaku dalam proses pilihan raya itu. Sebarang cubaan penipuan dan cubaan mensabotaj sistem pilihan raya di Malaysia ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas dakwaan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bahawa jari palsu telah diimport dari China oleh pihak tertentu untuk digunakan bagi tujuan penipuan dalam pilihan raya akan datang demi mengekalkan pemerintahan sedia ada.

Di samping itu tular yang tersebar di media sosial mengenai imej gambar jari palsu dan botol dakwat pilihan raya juga telah dikenalpasti sumbernya.

Mohd Hashim berkata, SPR mengambil serius dakwaan tersebut serta mesej tular itu dan pihaknya telah menjalankan siasatan.

Suruhanjaya itu telah mengenalpasti sumber imej tersebut di mana ia telah diambil daripada sumber internet yang tersebar di negara jiran.

Sumber asal imej tersebut disyaki dipetik daripada laman akikofujita.com yang menyiarkan artikel tulisan Shintaro Hasyahi bertajuk ‘Prosthetic Fingers Help Reform Former Yakuza Members’ yang telah disiarkan pada 16 Disember 2013.

Imej tersebut kemudiannya digunakan oleh pihak tertentu di Indonesia yang kononnya ia akan digunakan pada Pilihan Raya Serentak Indonesia (PILKADA) 2017 yang sedang berlangsung dan ditularkan.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab di negara ini dan menyebarkannya melalui aplikasi media sosial bagi menimbulkan kebimbangan dan persepsi negatif, malah ada yang membuat dakwaan bahawa ia telah memasuki pasaran negara ini untuk digunakan dalam pilihan raya umum akan datang bagi memenangkan pihak tertentu.

“SPR berharap orang ramai tidak merasa bimbang dengan perkara ini dan memberi sepenuh keyakinan serta kepercayaan kepada badan ini dalam mengendalikan proses pilihan raya dengan adil dan telus.

“Orang ramai juga diminta berhati-hati, tidak mudah terpedaya atau mudah mempercayai sebarang mesej tular dan dakwaan yang tidak sahih bertujuan menimbulkan kebimbangan selain meragui kewibawaan SPR,” katanya.

Tambah Mohd Hashim, dalam setiap pengundian semasa pilihan raya, petugas SPR akan memeriksa jari-jari pengundi itu terlebih dahulu bagi memastikan tiada kesan dakwat atau minyak pada jari pengundi atau sama ada mereka memakai jari palsu sebagaimana yang ditularkan itu.

Setelah dipastikan barulah jari pengundi tersebut dicelup dengan dakwat pilihan raya dan diberikan kertas undi, katanya.

SPR juga akan mengambil langkah yang lebih ketat dengan memeriksa jari setiap pengundi secara lebih teliti bagi memastikan tiada elemen penipuan dan cubaan mensabotaj sistem pilihan raya di negara ini. – MalaysiaGazette