Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

SUBANG – UMNO Selangor mendedahkan cubaan DAP mensabotajkan usaha kerajaan Persekutuan bersama Pas untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata, lebih menghairankan usaha DAP itu mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang beragama Islam.

Katanya, kerajaan Persekutuan dan Pas berusaha mendidik masyarakat Islam dari terjebak dalam masalah sosial untuk diluluskan pindaan itu di Parlimen.

“Tetapi parti pembangkang bukan beragama Islam dan beragama Islam sedang melakukan sabotaj untuk menggagalkannya.

“Gerakan sabotaj secara besar besaran ini diketuai parti bukan Islam. Mereka melakukan provokasi berterusan bagi memastikan rakyat Malaysia terutama beragama Islam menyokong usaha mereka agar RUU 355 gagal dipinda.

“Sedangkan kita tahu kebaikan RUU 355 ini kepada masyarakat Islam pada kemudian hari jika ia diluluskan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang Jaya memberitahu, apa yang dilakukan pembangkang itu bukan kerana benci, tetapi mereka takut apabila umat Islam menjadi baik.

Katanya, kalau umat Islam berakhlak baik, sudah pasti usaha mereka untuk menakluki orang Islam melalui kerosakan moral tidak akan berjaya.

“Hakikat ini yang paling dibenci oleh DAP, bukan sekadar benci, mereka takut apabila umat Islam menjadi baik, usaha mereka untuk menakluki orang Islam melalui kerosakan moral pasti menemui kegagalan.

“Akhirnya mereka tidak akan berjaya memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika hanya menjanjikan pembangunan semata-mata,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan umat Islam tidak mudah percaya lakonan mesra Islam yang ditunjukkan pemimpin DAP seperti pemberian bantuan kewangan kepada masjid, surau dan sekolah agama persendirian.

“Hakikatnya mereka tidak suka jika ada unsur Islam dalam mendidik rakyat terutama orang Islam diamalkan dalam negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette