Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masyarakat harus tunggu dan lihat mengenai perkembangan debat antara bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz

Ujarnya, sekiranya sudah dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk berdebat, beliau meminta agar semua pihak tidak membuat apa-apa spekulasi dan kritikan terhadap debat berkenaan.

“Kalau Tun Mahathir sudah setuju dan Datuk Seri Nazri dah jawab, kita tunggu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembiayaan Program Rumah Bina Negara (RBN) antara RISDA, Agrobank dan Bank Muamalat.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebelum ini mencabar Nazri untuk berdebat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas dalam satu kenyataan menyatakan kesediaannya untuk berdebat apabila pulang ke Malaysia daripada lawatan kerja di Berlin, Jerman.

Kedua-duanya bersetuju untuk berdebat di kawasan Nazri di Padang Rengas, Perak.

“Baik, saya setuju. Saya pulang 13 Mac, jadi beliau sudah boleh buat persediaan,” kata Nazri.

Semuanya bermula apabila Nazri mencabar Dr Mahathir supaya bertanding menentangnya di Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mengeruhkan keadaan apabila Dr Mahathir kemudian mencabar semula Nazri bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi. -MalaysiaGazette