Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana keberkesanan debat antara beliau dan Datuk Seri Nazri Aziz.

Menurutnya, ia susulan kesediaan Nazri berdebat atas kapasiti individu dan bukannya mewakili kerajaan seperti yang ditegaskan Menteri Kewangan, Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini.

“Saya terimalah kerana dia berminat dengan cadangan debat saya, kalau dia berminat boleh kita ada debat berkenaan isu 1MDB, RM2.6 bilion dalam akuan Datuk Seri Najib Razak, isu skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) juga kita boleh bahas dan dia bukan saja berbentuk debat tapi wacana, maknanya dia cakap, saya cakap, orang lain boleh tanya.

“Saya percaya Nazri berani, dia akan pergi, tapi dia tidak bertanggungjawab kepada kerajaan, pasal kerajaan awal-awal dah tolak, kerajaan kata kesediaan Nazri wakil peribadi, kita dengar Johari kata tidak ada kaitan dengan kerajaan, jadi terserah pada rakyat menilai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Sebelum ini, Johari berkata perdebatan yang ditunggu-tunggu antara Nazri Aziz dengan Dr Mahathir mengenai isu 1MDB tidak ada kena mengena dengan kerajaan.

Katanya, laporan sudah disediakan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai 1MDB, dan ia telahpun dibincangkan secara meluas dengan soalan dijawab di Parlimen.

Pada minggu lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mencabar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu untuk berbahas mengenai beberapa isu termasuk 1MDB, skandal BMF dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Kata sepakat antara mereka dipersetujui dan debat itu akan berlangsung di Padang Rengas, Perak pada 25 Mac ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberi jaminan tidak akan berlaku rusuhan semasa pendebatan walaupun ia dilakukan dalam kawasan Parlimen Nazri.

“Kita akan tentukan tak ada rusuhan. Harap semua bersikap tertib dan dengar debat,” katanya. – MalaysiaGazette