Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Sebuah portal semalam menyiarkan berita mendakwa Datuk Seri Jamal Md. Yunos keliru bagaimana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Selangor diagihkan.

Pembantu Ahli Parlimen Seputeh, Lan Suet Ling berkata, kekeliruan itu punca Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mendakwa bosnya, Teresa Kok melambatkan pengagihan bantuan pengebumian yang diuruskan oleh Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS).

“Saya fikir Jamal keliru mengenai cara pembayaran, Prosedur Operasi Standard (SOP) kami,” kata Suet Ling kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, hari ini, Jamal menjawab dakwaan berkenaan.

Mengenai SOP mengeluarkan RM10,000 daripada ATM setiap hari Selasa sebelum memanggil 10 pihak yang menuntut dan membayar mereka setiap RM1,000, Jamal mempertikaikannya.

“Setiap hari Selasa? Kenapa waris perlu ambil masa sampai beratus-ratus hari selepas maklumat dihantar,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai penjelasan selepas waris perlu memaklumkan kematian dan memberi maklumat lengkap terlebih dahulu, Jamal berkata, pembayaran sepatutnya boleh dibuat sejurus kematian berlaku.

“SMUE diwujudkan bagi meringankan beban yang ditanggung waris apabila berlaku kematian, namun pihak DUN atau Ahli Parlimen jelas melewat-lewatkan pembayaran untuk dibuat sedangkan boleh terus membuat pembayaran sejurus kematian berlaku.

“Apa yang kami pertikaikan wang ribuan ringgit dikeluarkan melebihi daripada keperluan adalah untuk tujuan apa?” soal Jamal.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Selangor sebelum itu telah mendakwa berlaku sesuatu tidak kena dalam YAWAS selain ia diketuai oleh seorang individu muflis.

Dana YAWAS melalui SMUE juga didakwa Jamal diberikan kepada wakil rakyat Kuala Lumpur dan dinafikan Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh yang juga pemimpin DAP.

Jamal juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan Teresa di Shah Alam baru-baru ini.-MalaysiaGazette