KUALA LUMPUR – Ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa di sini hari ini.

Atlet pelapis kebangsaan itu mencatat lompatan 1.81 meter pada percubaan pertama, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 1.79m bagi acara lompat tinggi wanita yang dilakarkan pada Kejohanan Terbuka Pahang 2015.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil iaitu Shahira Sazali dan M. Nanthini yang masing-masing mencatat lompatan 1.60m dan 1.45m.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abas yang dihubungi Bernama tidak menyangka Sean Yee dapat memecahkan rekod peribadi miliknya sendiri sambil mengharapkan kejayaan tersebut mencerahkan peluang atlet berkenaan untuk diserapkan ke dalam Program ‘Kita Juara’.

Program ‘Kita Juara’ adalah program khas Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyediakan atlet untuk mencapai sasaran muncul juara keseluruhan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dari 19 hingga 31 Ogos ini.

“Kalau beliau boleh kekalkan lompatan pada ketinggian 1.80 meter, saya yakin beliau berada dalam posisi terbaik untuk meraih kedudukan podium pada Sukan SEA 2017, Ogos nanti,” kata Zainal.

Dalam perkembangan sama, Zainal yakin kejayaan cemerlang yang dilakar skuad olahraga negara sejak kebelakangan ini merupakan landasan terbaik untuk memburu kejayaan gemilang pada Sukan SEA nanti.

Beliau memaklumkan skuad olahraga negara yang menjalani latihan di Afrika Selatan sejak bulan lepas, berkemungkinan akan meneruskan latihan persediaan selain menyertai pertandingan di Eropah pada bulan Mei atau Julai ini sebagai persediaan akhir menghadapi Sukan SEA.

Keputusan itu, kata Zainal, bagaimanapun bergantung kepada perbincangan antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) dan MSN yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Skuad olahraga kebangsaan yang diketuai pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan berada di Afrika Selatan sejak bulan lepas bagi menyertai latihan dan pertandingan di negara berkenaan selama dua bulan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. – MalaysiaGazette