KUALA LUMPUR – Sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan bentuk perabot yang unik dengan menjadikan kuih muih sebagai motif reka bentuk.

Kerusi, meja sisi dan lampu adalah antara perabot yang direka berpandukan motif kuih seperti karipap, kek lapis, kueh nona, bahulu, kueh peneram dan roti jala.

Berkonsepkan KUEH (Contemporary, Urban, Enculturation, Homestyle), perabot-perabot itu dipamerkan di Export Furniture Exhibition (EFE) dari 8  hingga 11 Mac lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut disertai 300 syarikat yang mempamerkan produk masing-masing.

Pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Rekabentuk Perindustrian, FRSB, Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd Rahman berkata, KUEH menjadi motif reka bentuk kerana ia boleh menjadi ikon atau identiti Melayu dan Malaysia.

“Kita kaya dengan budaya dan kita mempunyai pelbagai jenis kuih-muih, ia boleh diketengahkan melalui rekabentuk perabot bagi membezakan identiti perabot kita dengan perabot masyarakat atau negara lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Katanya, apabila konsep KUEH itu diterjemahkan ke dalam bentuk perabot, ia akan menjadi ikon yang menyeronokan kerana ia sesuatu yang menarik dan dapat mengimbas kembali pengalaman seseorang.

“Secara tidak langsung, produk ini boleh memperkenalkan budaya dan menaikkan nama Malaysia di luar negara,” katanya.

Beliau yang menghasilkan kerusi Karipap Ottoman berkata, kusyen kerusi itu diperbuat daripada fabrik jenis velvet yang lembut bagi mewujudkan keselesaan dan sesuai diletakkkan di ruang istirahat atau lounge.

Ketua Jabatan Rekbabentuk Perindustrian, FRSB, Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari pula mereka bentuk kerusi Nona Manis mengambil motif kueh Nona.

Ia diperbuat daripada kayu Nyatuh dan felt wool blend. Bahagian tengah kerusi itu boleh dibuka yang akan menjadikannya sebagai satu meja dan satu bangku.

Pelajar FRSB, Nursyazana Osman tutut menghasilkan meja sisi Lapees yang mempunyai laci mengambil konsep Kek Lapis yang terkenal di Sarawak.

Ia diperbuat daripada papan lapis, kayu getah dan zebra veneer.

“Saya mengambil konsep kek lapis dan mengubahsuai konsep itu untuk menjadikan bentuk meja yang bulat,” katanya.

Pelajar Pengajian Rekabentuk dan Perindustrian, Ezran Zainal, pula menghasilkan Rocking Chair mengambil konsep jalur kueh Bahulu.

Kerusi itu yang diperbuat dariapda kayu getah dan diperindahkan dengan corak lukisan, dan adalah untuk kanak-kanak.

Pensyarah Jabatan Senibina FRSB, Ar. Mohd Azli Mohamad Jamil pula menerapkan idea empat lubang yang terdapat pada kuih peneram dalam menghasilkan kerusi Peneram Azli dengan elemen kueh itu diperlihatkan pada tempat duduk dan tempat sandar kerusi.

“Kerusi ini selesa diduduk, tahan lasak dan sesuai diletakkan di ruang rehat rumah atau di hospital. Ia boleh berfungsi tanpa kusyen, manakala kusyennya juga boleh ditukar,” katanya.

Menurutnya, kerusi itu diperbuat daripada papan lapis Nyatuh, manakala kusyennya daripada span densiti tinggi yang dilapik dengan fabrik kapas.

kueh3

Pensyarah kanan Jabatan Senibina Landskap FRSB, Dr. Mohd Yazid Yunos dan pelajar Senibina Lanskap, Mohd. Amirul Hussain pula bergabung menghasilkan lampu gantung Jala Light mengambil konsep kueh Roti Jala.

Wayar termasuk wayar aluminium  dengan ketebalan yang berbeza dibentuk seperti roti jala dan diletakkan di bahagian atas mentol lampu dan apabila lampu dipasang, ia menghasilkan bayang-bayang bercorak jala dan suasana yang estetik.

“Ia membawa konsep terapeutik untuk berehat serta memberi ketenangan melalui  bayang-bayang yang terhasil,” kata Dr. Mohd Yazid. – MalaysiaGazette.

kueh2