Anifah dan Rex Tillerson

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anifah Aman telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson, kelmarin.

Menteri Luar Negeri yang berada di Washington dalam rangka lawatan kerja bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Pakatan Global Menangani ISIS telah
membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Antara lain, kedua-dua mereka telah bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan semasa di laut China Selatan, perkembangan di rantau ASEAN termasuk peranan yang boleh dimainkan Malaysia sebagai negara penyelaras bagi hubungan dialog Amerika Syarikat- ASEAN, situasi di semenanjung Korea, komitmen untuk meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala serta kerjasama dalam usaha-usaha mencegah dan menentang keganasan.

Anifah juga mengketengahkan usaha-usaha Malaysia dalam membasmi penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

Beliau telah menjemput rakan sejawatnya itu untuk mengadakan lawatan ke
Malaysia.

Pertemuan kali pertama Anifah dengan Tillerson beliau itu telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan telah membolehkan Malaysia memupuk hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat di bawah Pentadbiran Presiden Donald J. Trump. – MalaysiaGazette