Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah

KUALA LUMPUR – Debat terbuka antara Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan menyelesaikan masalah sedia ada.

Itu pandangan Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah mengenai debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dengan bekas perdana menteri keempat itu pada 7 April ini.

Malah, katanya, sekiranya penganjur debat bertegas hendak diadakan maka ia perlu memberi gambaran yang jelas berhubung isu yang hendak disampaikan kepada rakyat kalau tidak ia tidak bermanfaat.

“Budaya (debat) itu saya nampak tidak selesai masalah. Namun sebagai pemimpin, kalau saya yang kena cabar saya tidak ada pilihan. Kalau boleh tidak payah debat dan sebagainya ini, cumanya saya setuju dengan Nazri bahawa dia terpaksa terima,” katanya selepas merasmikan Kelab Mesra Masyarakat di Balai Polis Wangsa Maju hari ini.

Debat antara Mahathir dan Nazri bakal mengambil tempat di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada 7 April depan.

Tarikh terbaharu itu diumumkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga bertindak sebagai penganjur setelah debat berkenaan yang diadakan di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Kangsar dibatalkan semalam kerana tidak mendapat kelulusan pihak polis.

Bagaimanapun kedua-dua mereka akhirnya bersemuka di Dataran Lembah pada pukul 4.25 petang.

Mereka hanya menikmati cendol dan laksa di bawah sebuah pondok di kawasan perniagaan makanan di situ.

Mengulas lanjut, Shafie yang juga Pengerusi UDA Holding Berhad berkata, debat itu diadakan kerana cabaran bermula daripada pihak Mahathir.

“Saya difahamkan yang tawar untuk berdebat adalah Tun Mahathir. Jadi Datuk Seri Nazri cuma terima. Kalau dia tidak terima, rakyat akan anggap dia bacul dan dayus,” kata Shafie lagi.

Nazri sebelum ini menyahut cabaran Mahathir untuk berdebat secara terbuka mengenai beberapa isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) , isu derma RM2.6 bilion dan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF).

Sebelum ini, Nazri mencabar Mahathir bertanding di kawasan parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia susulan selepas Ahli Parlimen Padang Rengas dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri itu mahu turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah PPBM hujung bulan lalu. -MalaysiaGazette.