Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Peningkatan inflasi pada bulan Februari sehingga merekodkan sejarah tertinggi sejak 10 tahun adalah disebabkan faktor harga minyak yang tinggi.

Bagaimanapun menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, selaras dengan penyusutan harga minyak global akhir-akhir ini, kadar inflasi juga diramalkan akan lebih baik.

“Jika dibandingkan dengan Februari tahun lalu dengan Februari tahun ini, harga petrol memang meningkat iaitu RM1.75 seliter (tahun lepas) berbanding RM2.30 seliter tahun ini bagaimanapun jika faktor harga minyak ini dibuang, kita dapat menyaksikan kadar inflasi masih lagi stabil.

“Jadi dengan penyusutan harga minyak global ketika ini, saya percaya inflasi juga akan menyusut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perasmian Global Offset and Countertarde Association (GOCA) Asia Pasifik di sini hari ini.

Menurut Johari, kerajaan bagaimanapun tetap mahu mengawal kadar inflasi namun beliau tidak menjelaskan mekanisme tersebut dengan terperinci.

“Memang kita mahu menguruskan kadar inflasi dengan baik.

“Jika ianya berkaitan dengan teras inflasi yang boleh dikawal, kita akan uruskan namun terdapat faktor-faktor lain yang berada di luar kawalan kerajaan seperti harga minyak global,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula subsidi minyak sepenuhnya selepas pemulihan harga komoditi itu di peringkat global, Johari berkata: “Ia masih belum dibincangkan.”-MalaysiaGazette