Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaluddin (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong (tiga kiri) menerima replika dari Ketua Pegawai Eksekutif, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Gan Leong Hin (tiga kanan) sebagai simbolik penajaan sempena Sea Games Kuala Lumpur ke29 di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 MAC 2017

PUTRAJAYA – Prudential Assurance Malaysia Berhad (Prudential) tampil menjadi penaja bagi menjayakan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 yang dikenali Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

KL2017 dijadualkan berlangsung 19 hingga 31 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Prudential muncul sebagai penaja perak dengan jumlah penajaan antara RM1 juta hingga RM3 juta dalam bentuk perlindungan insurans kepada sukarelawan KL2017, peserta larian obor dan promosi.

“Saya mengalu-alukan kehadiran Prudential dalam keluarga KL2017 sebagai Rakan Insurans Rasmi.

“Saya menyambut baik penajaan daripada Prudential yang sangat bermanfaat terutama dalam memastikan perlindungan insurans kepada para sukarelawan KL2017 dan juga peserta larian obor.

“Sukarelawan kini sedang mengharungj latihan dan mereka bakalĀ  menjadi nadi pada temasya sukan nanti,” katanya pada Majlis Pengumuman Penajaan Prudential di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Selepas termeterainya perjanjian, Prudential juga akan membantu mempromosi Temasya KL2017 melalui papan iklan syarikat tersebut di seluruh negara.

“Penglibatan Prudential dalam agenda serantau adalah tidak asing lagi dengan rekod sejarahnya yang panjang di Asia dengan kehadiran mereka lebih 90 tahun di rantau ini.

“Namun begitu tajaan ini merupakan tajaan pertama Prudential dengan pihak kementerian,” kata Khairy lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential, Gan Leong Hin menyifatkan kerjasama dengan KBS sebagai satu plafform yang tepat untuk pihaknya membalas sokongan rakyat Malaysia yang telah menyokong operasi syarikat lebih 90 tahun di negara ini.

“Kami mahu menjuarai impian para atlet dan menyambut kejayaan mereka bersama keluarga Prudential,” katanya. – MalaysiaGazette