Kemalangan motosikal

KUANTAN – Purata 20 orang maut setiap hari daripada 7,152 kes kemalangan maut dicatatkan sepanjang tahun 2016, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff.

Menurutnya, ia berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan daripada jumlah purata itu, 12 orang adalah penunggang atau pembonceng motosikal.

“Ini menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kadar kematian terbesar di atas jalan raya tahun lepas dengan mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 4,485 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Bersama Petron Malaysia peringkat negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata berdasarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 82% kemalangan maut itu berlaku disebabkan faktor kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berdisiplin termasuk mematuhi had laju ditetapkan. – MalaysiaGazette