Pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez akan berkemungkinan berhijrah ke Bundesliga menjelang jendela perpindahan pada akhir musim ini.-Foto: AFP

MUNICH – Bintang Arsenal, Alexis Sanchez dilaporkan akan dibeli oleh kelab Jerman, Bayern Munich menjelang jendela perpindahan akhir musim ini.

Situasi bintang antarabangsa Chile untuk meneruskan kariernya di Stadium Emirates kini tidak menentu.

Laporan media Jerman mendakwa kelab itu serius untuk menyelamatkan karier Sanchez dengan menawarkan pemain tersebut ke Bundesliga.

Sanchez masih belum menandatangani kontrak baharu bersama Arsenal, sekali gus menguatkan spekulasi kelab itu bakal kehilangan khidmat pemain tersebut akhir musim ini.

Bayern kini dikatakan berada di hadapan dalam persaingan untuk merebut khidmat pemain itu selepas pengurusnya, Carlo Ancelotti mengarahkan kelab untuk mendapatkan pemain dengan apa jua nilai sekali pun.

Sanchez dipercayai mampu mengembalikan kekuatan jentera serangan Bayern Munich untuk kembali menguasai pentas Eropah dan mencabar Barcelona dan Real Madrid.

Laporan akhbar, Sport, mendakwa Arsenal boleh menjual Sanchez serendah £35 juta (RM194.3 juta) dengan penyerang itu kini berada di penghujung kontrak bersama Arsenal – MalaysiaGazette