Francois Hollonde (kanan) diiringi Mustapa Mohamed hadir bagi menyaksikan Memorandum Persefahaman dalam bidang ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan Perancis di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Cukai import minyak kelapa sawit merupakan antara perkara yang akan dibincangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Perancis, Francois Hollande semasa lawatan pemimpin Eropah ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, eksport minyak sawit adalahperkara penting kepada Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang terbesar pendapatan negara.

Jelasnya, Perdana Menteri sendiri telah campur tangan dan menulis surat kepada beberapa pemimpin Eropah termasuk Hollande bagi meredakan masalah tersebut.

“Eksport kelapa sawit merupakan isu besar bagi Malaysia dan cadangan untuk menaikkan cukai import pastinya akan menjadi tajuk utama,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara syarikat Malaysia dan Perancis.

Menurut Mustapa, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mah Siew Keong telah berbincang dan memujuk ahli-ahli Parlimen Perancis untuk membatalkan hasrat tersebut.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dijalankan sejak tahun lalu termasuk memberi penerangan kepada mereka mengenai cara penanaman kelapa sawit Malaysia yang lestari serta sumbangannya terhadap ekonomi masyarakat terutama penduduk luar bandar.

Ketika ini cukai import kelapa sawit Perancis adalah sebanyak 21 peratus.

Perladangan kelapa sawit di Malaysia sering dituduh sebagai penyebab kepada pembasmian hutan yang merosakkan biodiversiti dan ekosistem serta berlakunya pelepasan gas rumah hijau dan karbon yang menyumbang kepada perubahan iklim. -MalaysiaGazette