Semua jalan raya di Bali ditutup daripada kenderaan selama 24 jam bagi menghormati Hari Nyepi.

JAKARTA – Bali yang menjadi destinasi percutian popular di Indonesia tenang dalam tempoh 24 jam hari ini kerana penduduk tempatan menghormati Hari Nyepi (Hari Sepi), permulaan dalam Tahun Baharu bagi kaum Hindu di kepulauan itu.

Sepanjang hari ini, kepulauan itu akan berada dalam keadaan gelap kerana tidak ada lampu dipasang dan tidak ada seorang pun dibenarkan berada di luar rumah.

Malah, tidak ada penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Bali kerana ia ditutup selama 24 jam mulai 6 pagi tadi.

Ketua Perhubungan Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Arie Ahsanurroqim yang dipetik daripada media Online berkata, tidak ada penerbangan domestik dan antarabangsa semasa Hari Nyepi.

Tetapi, 316 orang kakitangan ditugaskan di lapangan terbang untuk mengendalikan jika berlaku kecemasan.

Semua jalan raya di kepulauan itu ditutup daripada kenderaan manakala aktiviti sosial digantung sementara.

Pihak berkuasa juga akan memastikan pusat-pusat hiburan ditutup bagi menghormati Hari Nyepi.

Hari Nyepi disambut sempena Tahun Baharu Saka, tahun baharu Hindu dalam Kalendar Saka yang bermula pada tahun 78.

Selepas tempoh 24 jam itu berakhir, kaum Hindu akan menyambut Tahun Baharu dengan menziarahi jiran dan saudara-mara dan mengadakan jamuan makanan tradisional Bali. – MalaysiaGazette